Sentuhan Ruang Kontemporari Elegan

Kumpulan pereka berbakat daripada IDW Design and Build melakarkan sentuhan hebat di kediaman milik Puan Silawati. Kekal bermain spektrum warna mewah dalam menjelmakan penataan ruang bergaya kontemporari elegan. 

Warna- warna sejuk sepert hijau dan kelabu menjadi latar spektrum palet kediaman. Kediaman jenis semi-detached dua tingkat, berlokasi di Shah Alam, Selangor. Meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada kumpulan pereka dari IDW, proses menyiapkan keseluruhan projek mengambil masa selama tiga bulan untuk disempurnakan. Kediaman ini tidak melibatkan sebarang proses renovasi yang merubah struktur dan pelan asal, hanya penambahan bahagian dinding dengan proses renovasi kosmetik serta binaan dapur yang tampil elegan.

Interaksi dua ruang diolah sempurna bermain padanan warna kelabu yang mendominasi

Inspirasi Dekorasi

Seiring gaya hidup pemilik, sentuhan moden mendominasi segenap ruang dengan diperhebatkan elemen kontemporari bersemi gaya urban chic. Reka pelan ruang kediaman berkeadaan terbuka tanpa sebarang pembahagi atau pemisah ruang. Ruang tamu dan ruang makan berkongsi pelan lantai yang sama. 

Penggunaan meja kopi daripada material marmar menonjolkan elemen kemewahan bermain rona alami.

Ruang tamu ditata gaya dalam suasana konvensional; mempamerkan dua unit sofa chesterfield tiga tempat duduk dengan reka bentuk yang sama menggunakan fabrik baldu rona kelabu. Sepasang armchair turut hadir melengkapi fungsi ruang bersama sebuah meja kopi berpotongan moden dilapisi kepingan kaca telus pada bahagian permukaan. Seleksi perabot reka bentuk kontemporari dipilih berdasarkan idea dan lakaran konsep rekaan IDW.

“Pemilik menginginkan ruang kediaman bermain palet warna pilihannya; kelabu dan hijau agar persembahan ruang tidak kelihatan terlalu ‘strong’. Hanya palitan emas pada reka bentuk bingkai kerusi bar di ruang makan dan panel dinding di kamar beradu menyuntik aura mewah dan elegan,” jelas pereka dari IDW.

Penggunaan rona senada melatari penataan ruang dapur menganjur terus ke ruang tamu, menyuntik suasana elegan bersemi mewah.

Perspektif dari aras atas, menonjolkan elemen pencahayaan menarik dan unik melatari penggayaan ruang.

Melangkah ke tingkat atas, pemilik masih mengekalkan konsep yang selari dengan ruang bawah. Penegasan rona kelabu pada latar dinding wainscoting bersepadu dengan rekaan kabinet televisyen dan sebuah sofa L-shape dari rona biru. Mood santai namun kekal selesa menjadi pegangan pemilik agar fungsi tampil seiring bersama elemen dekorasi. 

Menjenguk kamar beradu utama, persembahan ruang jelas menonjolkan identiti moden kekal mendominasi. Kamar persalinan dibina berasingan dibahagian sisi kamar untuk memastikan keseluruhan ruang kamar sentiasa kemas dan teratur.

IDW Design