Mahligai Mewah Bersemi Klasik

Lounge yang menonjolkan aura kemewahan melalui pilihan material, elemen pencahayaan dan gabungan warna.

Nuansa dan aura kemewahan berserakan di segenap ruang banglo yang berlokasi di Putra Hill Residensi, Bangi. Mainan rona-rona hangat dan pekat bersulam indah dekorasi moden yang disuntik stail klasik. Ambien damai mengulit jiwa tenang penghuninya membuai rasa di ruang sendiri.

Konsep moden klasik tepat menggambarkan keseluruhan penampilan ruang kediaman dalam penyatuan gaya yang sempurna. Pereka berjaya melaungkan karakter dan cita rasa pemiliknya, Dato’ Dr Nazri Khan dan pasangannya, dalam menggandingkan elemen moden bersemi stail klasik.

Ruang tamu utama ditata hias sempurna dengan mengambil kira keluasan ruang, reka bentuk perabot, dan perincian buat melengkapi penampilan keseluruhan.

“Journey bersama IDW sangat istimewa. Mereka kenal dan faham karakter saya. Malah pereka dari IDW dapat plan journey kita ke fasa seterusnya. IDW is the best!”

Eksklusif Seiring Cita Rasa

Berlatar rona cerah, pemilihan perabot bersaiz dempak, direka khas dalam paduan rona bumi semulajadi berjaya memecah sukma, di segenap ruang tamu utama. Sebuah sofa tiga tempat duduk dibaluti fabrik baldu rona coklat membentuk ruang lebih eksklusif membangkit seri ruang. Kehadiran meja kopi permukaan marmar diperkemas perincian rona keemasan menyempurnakan wajah kehidupan moden klasik.

Menurut kumpulan pereka dari IDW, setiap item yang menepati ruang kediaman ini dipilih berdasarkan cita rasa dan disulami karakter pemiliknya, agar tidak timbul rasa kaku selain berlaku percanggahan. Dalam masa yang sama, pereka turut memberi kebebasan kepada pemilik untuk menggandingkan bersama item peribadi yang serasi dengan jiwa mereka.

Ruang makan tampil eksklusif dengan rekaan meja makan daripada material marmar, set kerusi tempah khas dibaluti fabrik baldu untuk 10 orang.
Perhatikan bagaimana pereka mewujudkan interaksi antara ruang untuk menyuntik ruang lebih harmoni dan menyerlah.
Berani bermain rona hijau pada rekaan kabinet untuk mencipta kelainan. Kehadiran island kitchen memudahkan untuk aktiviti di dapur.
Elemen reka bentuk, material, tekstur dan warna bersepadu dalam menonjolkan fungsi ruang dapur sebagai nadi kediaman.
Kamar beradu utama membuai tidak lena. Ibarat beradu di kamar hotel bertaraf 5 bintang, persembahan ruang dirancang rapi dan sempurna.
Bagi memastikan ruang personal kekal kemas dan rapi, rekaan kabinet build in ternyata solusi tepat, selain memberi illusi ruang berganda dengan peletakan cermin pada reka bentuk kabinet.

“IDW mencipta reka bentuk kediaman yang sangat tenang, kita dapat rasa aura tu. Inilah hadiah saya buat isteri tercinta.”

Tips Dekorasi Gaya Moden Klasik

Gaya klasik – Beri tumpuan rapi pada gabungan warna, tekstur, kualiti dan reka bentuk. Elakkan perincian keterlaluan dan serabut.

Mainan rona eksklusif – Kediaman seharusnya memiliki aliran warna selancar dengan sentuhan perincian. Bangkitkan seri dinding polos menerusi pilihan Langsir, Permaidani, karya seni, hiasan kaca dan kemasan lembut.

Perincian bold – Eksperimen dengan warna dan motif tapi hadkan hanya sago ‘wow factor’ di setiap ruang bagi mengekalkan estetika ruang.

Elemen pencahayaan – Cahaya semulajadi dan lampu buatan saling melengkapi satu sama lain bagi meningkatkan aura wajah keseluruhan ruang. Reka bentuk lampu juga berupaya menjadi salah satu item ‘statement’. Pilihan lampu chandelier dengan kemasan krom dan emas kekal sebagai pilihan gaya klasik.

IDW Design
Explore
Drag